Isnin, 14 September 2015

Pantun Buatmu Ibu Pertiwi



Dalam kerelaan majumu dewi,
 Pantang rebah bangun berdiri;
 Salam kemerdekaan buat ibu pertiwi.
 Bertatang sembah pantun penyeri.

 Jasamu diingat di tinta pusara,
 Kenangan duka tidak disesali;
 Perkasamu semangat cinta negara,
 Laungan MERDEKA berkali-kali.

 Hiris lada terhiris mentimun,
 Sambal merah sedikit kari;
 Portugis Belanda Inggeris dan Jepun,
 Tinggal sejarah di karpet memori.

 Perintis persada menangkis lanun,
 Wajah tak gentar seampuh laksamana;
 Portugis Belanda Inggeris dan Jepun,
 Penjajah tegar musuh durjana.

 Komunis melanda sadis bertahun,
 Jerih bernafas peristiwa Kepong;
 Portugis Belanda Inggeris dan Jepun,
 Masih berbekas nyawa terapung.

 31 Ogos membilang hari,
 Rawan lara di zaman komunis;
 Waktu berarus menggalang memori,
 Pahlawan negara berteman puitis.

 Waktu berarus minit berlari ,
 Jangan suka berangan bermenung;
 31 Ogos menggamit memori,
 Kenangan merdeka kenangan dijunjung.

 Persetua lara menghiris perasaan,
 Waktu berarus ledakan saat;
 Jiwa bersuara puitis kemerdekaan,
 31 Ogos pekikan semangat.

 Rahsia bersolat segera berZohor,
 Sunnah dikerjakan menyembah Yang Satu;
 Malaysia berdaulat negara yang makmur,
 Tanah kelahiran tumpah darahku.

 Kasih dijulang merafak mahkota,
 Beban peristiwa bersemi pusara;
 Berputih tulang tidak di mata,
 Berkorban nyawa demi negara.

 Membawa riwayat terpahat di batu,
 Adrenalin amarah suka dan duka;
 Peristiwa menyayat di Lahad Datu,
 Cermin sejarah luka terluka.

 Perjudi nyawa merempuh habis;
 Membuka suara berbalah sangka,
 Trajidi peristiwa yang sungguh sadis,
 Ketika negara telah merdeka.

 Bersimpul iman berapa amalan,
 Sehangat pasrah membilang angan;
 Tunku Abdul Rahman Bapa Kemerdekaan,
 Keringat sejarah menjulang tangan.

 Sanggul pasak kembung sekerat,
 Mengapa jambangan bubuh di sisi;
 Tun Abdul Razak menyambung hasrat,
 Bapa Pembangunan penuh dedikasi.

 Fesyen sedondon cantik dilihat,
 Jumpa Cik Puan di Jalan Teberau;
 Tun Hussein Onn membelek rakyat,
 Bapa Perpaduan panggilan beliau.

 Pohon banir menapis unggas,
 Betapa dahan ada sepaha;
 Tun Dr Mahathir berinovatif dan tegas,
 Bapa Permodenan sentiasa berusaha.

 Mengaji bersolah berkabut pusara,
 Terkapa ketakutan sejengkal nisan;
 Datuk Seri Abdullah lembut bicara,
 Bapa Pembangunan Modal Insan.

 Ketuk sudip bermata selisih,
 Mengapa nasi berbau halia;
 Datuk Seri Najib yang kita kasih,
 Bapa Transformasi Satu Malaysia.

 Tentera berani menggenggam pusaka,
 Melangkah mati nyawa diberi;
 Negara kini 58 tahun merdeka,
 Merdekakah hati jiwa sanubari.

 Sungguh bersabar keringat dirasa,
 Di ambang merdeka rakyat menanti,
 Penuh debar semangat perkasa,
 Lambang Merdeka memahat erti.

 Kenangan duka sama merahsia,
 Kering dan tua dimakan umur;
 Laungan Merdeka bergema seMalaysia,
 Seiring doa Malaysiakan makmur.

 Melilau muara menjejak hujan,
 Turun di lembah merata-rata;
 Kalau bicara tidak sepadan,
 Mohon ditambah info dan fakta.

 Pohon berdahan kelam keadaan,
 Celahan pangkal selisih paya;
 Mohon kemaafan salam kemerdekaan,
 Cerahan Syawalkan masih bercahaya... ^,^ 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan