Jumaat, 11 September 2015

BAPA KEMERDEKAAN


"Rakyat dengan hati yang tabah hendaklah menegakkan satu bangsa dan satu negara, memandang ke hadapan dengan penuh keyakinan akan mencapai keamanan dan kemakmuran, kesentosaan dan kebahagiaan" (Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj-BH 7 Ogos 2009)





Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah (8 Februari 1903 - 6 Disember 1990) merupakan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dari 1955, dan Perdana Menteri pertama sejak kemerdekaan pada tahun 1957 sehingga 1970. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan salah satu daripada pencapaiannya yang teragung. Biasanya dikenali sebagai "Tunku", beliau juga dikenang sebagai "Bapa Kemerdekaan" dan "Bapa Malaysia".
Nama Asal : Tengku Abdul Rahman Putera ibn Abdul Hamid Halim Shah.
Nama dan Gelaran : Tunku Abdul Rahman Putera Al-Ha.
Tarikh Lahir : 08 Februari 1903, di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar (Istana Pelamin).
Kelulusan dan Pendidikan :
1911 - Maktab Sultan Abdul Hamid Alor Setar.
1916 - Penang Free School, Penang.
1925 - Lulus B.A. dari University Cambridge.
1945 - Lulus LLB, dari Inner Temple, London.
Pengalaman Jawatan Awam dan Kerjaya :
1946 - Bertugas dengan Kerajaan Kedah sebagai D.O. (Pegawai Daerah) Langkawi, Kulim dan Sungai Petani, (sebelum lulus LLB). Dilantik Penolong Pendakwa Raya KL dan Presiden Mahkamah Session Selangor.
1951 - Dilantik Presiden UMNO dan bergiat sepenuh masa untuk UMNO.
1956 - Rombongan Merdeka ke London.
1957 - Merdeka. Perdana Menteri Pertama.
1962 - Rombongan ke London - Gagasan Malaysia.
1963 - Gagasan Malaysia - 16.09.1963.
1970 - Bersara dari Politik.
06 Disember 1990 Tunku kembali ke rahmatullah. Seluruh Negara berkabung atas pemergian Almarhum. Seluruh dunia menghantar Ucap Takziah. Atas wasiat Almarhum, jenazah disemadikan di Makam Di Raja Langgar.
Catatan Ringkas Tunku : Penglibatan Dalam Politik
Pengalaman pertama dengan diskriminasi perkauman oleh pihak pentadbir kolejnya telah mencetuskan semangat kepada Tunku untuk berjuang menuntut keadilan dan membebaskan tanahairnya daripada penjajah iaitu Inggeris. Bakat kepimpinannya juga menyerlah di England. Menyedari pelajar Melayu tiada wakil dari mana-mana organisasi, beliau menubuhkan Kesatuan Melayu Great Britain (Malay Association of Great Britain) dan menjadi setiausaha pertamanya. Setelah pulang ke tanahair, Tunku berkhidmat di Pejabat Penasihat Undang-Undang dan kemudian sebagai Pegawai Daerah di Kedah. Tunku tidak begitu popular di kalangan pegawai-pegawai British kerana kelantangannya dan kecenderungannya memperkenalkan reformasi dalam meningkatkan taraf orang Melayu.

Tunku terpaksa menghentikan pelajarannya di Inner Temple, England pada tahun 1938 setelah meletusnya Perang Dunia Kedua. Tunku menyambung kembali pengajiannya lapan tahun kemudian dan kembali ke tanahair pada tahun 1949. Tunku memperolehi kesedaran politik setelah bergaul dengan rakan-rakan dari pelbagai negara di England dan telah dilantik sebagai pengerusi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) apabila pulang ke tanahair. Pada 26 Ogos 1951 Tunku menjadi Presiden UMNO menggantikan Dato' Onn Jaafar. Tunku menjelajah ke seluruh negeri berjumpa dengan rakyat jelata untuk menggalakkan perpaduan. Usahanya dalam mengatasi masalah politik tanahair dengan menggabungkan kerjasama antara pelbagai kaum telah membawa kepada penubuhan Parti Perikatan pada tahun 1955.

Di bawah kepimpinan beliau, Perikatan memenangi pilihanraya umum pertama negara pada bulan Julai 1955. Tunku kemudiannya dilantik sebagai Ketua Menteri dan Menteri Dalam Negeri. Pada tahun 1956, Tunku mengetuai satu rombongan ke London untuk satu perbincangan dengan kerajaan Britain berkenaan kemerdekaan Malaya. Pertemuan itu telah membawa kepada suatu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Merdeka dan ditandatangani di Lancaster House, London pada 8 Februari 1956 dan seterusnya kemerdekaan Malaya pada 31 Ogos 1957. Tunku dipilih menjadi Perdana Menteri Malaya yang pertama dan memimpin Parti Perikatan ke arah kemenangan pada pilihanraya umum tahun 1959, 1964 dan 1969. Tunku telah menyarankan pembentukan gagasan Malaysia pada bulan Mei 1961 yang merangkumi Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Borneo Utara (Sabah) dan Brunei. Kesemua negeri-negeri tersebut kecuali Brunei menyertai gagasan tersebut pada 9 Julai 1963. Pada tahun 1965, Singapura telah menarik diri dari gagasan Malaysia. Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan pada 22 September 1970 dan digantikan oleh Tun Abdul Razak.

SUMBANGAN DALAM BIDANG SOSIAL

Walaupun beliau seorang ahli politik yang aktif lagi berjasa kepada rakyat Malaysia. Tetapi sumbangan beliau bukan hanya tertakluk dalam bidang politik sahaja,beliau juga menyumbang tenaga dalam aspek sosial seperti dalam bidang penulisan,bidang kesenian dan lain-lain. Perwatakan Tunku yang mulia ini telah menjadi satu teladan atau ‘role model’yang baik bagi semua ahli politik dan juga pemimpin. Dengan melihat perwatakan Tunku, kita boleh dapati bahawa Tunku seorang yang rendah diri,bersemangat patriotik,bersemangat kenyal, mengambil berat kebajikan rakyat dan lain-lain. 

SUMBANGAN DALAM PENULISAN

Tunku merupakan seorang penulis yang berbakat. Karya beliau mampu menarik perhatian orang ramai. Walaupun pada masa Tunku bersara, ketika berumur 85 tahun, beliau masih bergiat cergas malah semakin aktif dalam bidang penulisan seperti ruangan Looking Back dan As I See It dalam akhbar The Star. 
  Sepanjang 16 September 1974 sehingga 16 Ogos 1975, Tunku telah menghasilkan sebanyak 53 artikel dalam ruangan Looking Back. Pada tahun 1969, Tunku telah menghasilkan buku beliau yang pertama iaitu May 13, Before and After . Selepas itu, beliau meneruskan penulisannya dalam akhbar The Star melalui ruangan baru iaitu As I See It. Artikel-artikel yang beliau hasilkan dalam akhbar adalah berkenaan masyarakat dan insiden-insiden politik yang berlaku pada zaman beliau.

 Beliau turut menghasilkan Viewpoints (1970), Looking Back (!977), As Matter of Interest (1981), Something to Remember (1983), Less We Forget dan Contemporary Issuus in Malaysian Politics (1984), Challenging Times (1986) dan Political Awakening (1986). Semua hasil tersebut adalah tentang isu-isu semasa.

SUMBANGAN DALAM KESENIAN

Tunku juga berminat dalam bidang seni dan kebudayaan negara. Sebelum menjadi Perdana Menteri, beliau bercita-cita menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat kebudayaan. Pada 27 Ogos hingga 30 Ogos 1969, beliau telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa Drama dan Muzik Tradisional Asia Tenggara dengan tujuan menonjolkan kebudayaan Melayu di mata dunia.
  Tunku telah menghasilkan tiga karya yang kemudiannya difilemkan iaitu “Mahsuri”, “Raja Bersiung” dan “Sumpahan Mahsuri”. Filem “Raja Bersiung” merupakan antara filem Melayu pertama yang berwarna di Malaysia yang ditayangkan untuk mengutip derma bagi tabung Tugu Peringatan Rosli Dhobie.

SUMBANGAN PERINGKAT ANTARABANGSA

Pada 31 Julai 1961, Tunku telah mengasaskan ASA (Assosiation of South East Asian States) yang terdiri daripada Tanah Melayu, Filipina, dan Negara Thai. 

Pada 11 Julai 1962, MAPHILINDO yang dianggotai oleh Indonesia, Filipina dan Malaysia dibentuk. Akan tetapi, persatuan ini tergugat apabila Malaysia menghadapi konfrontasi dengan Indonesia dan Filipina sebaik sahaja Malaysia diisytiharkan.

 Ketika berusaha menyelesaikan masalah tersebut, Tunku dihampakan apabila Singapura memutuskan untuk keluar daripada Persekutuan pada 9 Ogos 1965. Tunku berjaya mengatasi konfrontasi tersebut melalui perjanjian dengan Indonesia pada 2 Jun 1966 dan Filipina, 3 Jun 1966 .Beliau juga pernah dilantik menjadi Setiausaha Agung Pertama Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) oleh Raja Faizal dari Jeddah.

SUMBANGAN DALAM ISLAM

Tunku telah banyak memberi sumbangan terhadap perkembangan Islam di negara kita malah mengharumkan nama negara di persada dunia. Beliau banyak melibatkan diri dalam penganjuran Pertandingan Membaca Al-Quran. 
  Menjadi Presiden Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) pada Ogos 1960. Atas kebolehan dan daya usaha gigihnya, beliau berjaya meletakkan PERKIM sebagai sebuah pertubuhan yang terkemuka dan dihormati oleh semua umat Islam. 
  Tunku Abdul Rahman adalah seorang pejuang kemanusiaan yang tulen. Beliau telah membenarkan PERKIM cawangan Kedah menggunakan tanah kepunyaannya untuk membina rumah anak-anak yatim dan orang tua yang diberi nama Darul Aliam Wal Masalan Tunku Abdul Rahman Putra. Sebagai pemimpin PERKIM, beliau berusaha memberi bantuan kepada pelarian Kemboja yang memasuki Malaysia melalui Kelantan pada tahun 1975. Dengan bantuan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu, beliau telah berjaya menempatkan seramai 4,500 orang pelarian di Pengkalan Chepa dan Cheranting. 

 Pada 18 Januari 1980, beliau telah dilantik menjadi Presiden ‘Regional Islamic Council for South East Asia and The Pacific’ (RISEAP) yang pertama oleh perwakilan di Persidangan Negara-negara Islam. Atas segala jasa dan sumbangan yang dicurahkan, beliau mendapat penghargaan dari Pakistan dengan Anugerah Hadiah Hijrah pada Mac 1983 dan Anugerah Al-Malik Faizal dari Arab Saudi pada tahun yang sama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan